TNC HEP’s Message

tnc hep

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera,

Selamat datang ke laman web rasmi Bahagian Pembangunan Pelajar dan Jaringan Komuniti. Sebelum ini, bahagian ini lebih dikenali sebagai Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan terkenal dengan singkatan HEP. Pada tahun 2015, kami telah menambahbaik nama bahagian ini bagi menonjolkan bahawa HEP bukan sahaja berkenaan hal ehwal pelajar tetapi turut menekankan jaringan komuniti sebagai satu usaha untuk ke arah pembentukan masyarakat.

Selain dari fungsinya untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelajar melibatkan sumber panajaan pelajaran, penginapan dan kebajikan, bahagian ini turut berfungsi untuk membangunkan sahsiah pelajar dengan rangkaian seminar, kursus dan bengkel yang disediakan meliputi pembangunan kemahiran insaniah, keusahawanan dan persediaan untuk merebut peluang kerjaya.

Bahagian Pembangunan Pelajar & Jaringan Komuniti telah melebarkan sayapnya dengan menjadikan jaringan komuniti sebagai salah satu entiti, di mana selain tumpuan kepada aktiviti akademik, para pelajar turut didedahkan dengan aktiviti kesukarelaan yang mendidik pelajar menjadi sukarelawan. Program dan aktiviti bersama masyarakat setempat, masyarakat orang asal dan golongan yang memerlukan serta terhadap flora dan fauna menjadi fokus kami bagi melahirkan generasi yang prihatin.

HEP juga sangat menggalakkan penglibatan pelajar dalam aktiviti pengantarabangsaan. Penyertaan mereka dalam aktiviti pengantarabangsaan seperti lawatan dan penyertaan seminar meluaskan jaringan perkenalan dengan universiti luar negara dan membolehkan pertukaran pendapat dan buah fikiran berlaku supaya pelajar tidak terkongkong dalam kepompong sendiri.

Kemudahan dan perkhidmatan yang telah disediakan khas untuk pelajar UNISEL. Mulai dari saat ini, semuanya terpulang kepada pelajar untuk menyertai aktiviti dan program yang disediakan, tepuk dada tanya selera.

Sekian, terima kasih.

PROF. DR. SHAHARUDDIN BADARUDDIN
NAIB PRESIDEN / TIMBALAN NAIB CANSELOR
PEMBANGUNAN PELAJAR & JARINGAN KOMUNITI (HEP)